GEORGE TOWN – Kerajaan dan agensi berkaitan digesa mendedahkan kepada umum penilaian impak awam serta mendapatkan maklum balas sebelum memberi kelulusan mereka.
Gesaan itu diutarakan Sahabat Alam Malaysia (SAM) bagi membolehkan rakyat melihat secara teliti penilaian impak sosial (SIA), penilaian impak trafik (TIA) dan penilaian impak radiologi (RIA) pada mana-mana projek pembangunan.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, SIA dan TIA perlu diberikan sebelum kebenaran merancang diberi mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (TCPA) manakala RIA diperlukan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 dalam pengurusan sisa radioaktif berkenaan.
Jelasnya, tiada satu pun penilaian impak itu didedah kepada umum dalam mana-mana projek selain ia memerlukan maklum balas atau komen awam sebelum kelulusan diberi pihak berkuasa berkaitan.
“Walaupun proses SIA membabitkan beberapa konsultasi dengan pihak yang mungkin terjejas dengan projek itu, kebimbangan ini diambil kira dan ditangani dalam penilaian impak tidak diketahui atau didedahkan.
“Kita percaya penilaian impak ini mesti mengikut prosedur yang berkaitan dengan penilaian impak alam sekitar (EIA) di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 di mana penyertaan dan maklum balas awam diperlukan bagi projek besar dengan impak serius sebelum sebarang kelulusannya diberi,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, pelaksanaan penilaian impak yang tidak didedahkan secara umum bukan contoh tadbir urus yang baik selain tidak menjanjikan ketelusan dalam membuat keputusan.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa mengharapkan orang ramai mempunyai keyakinan terhadap keputusan yang diambil sekiranya penilaian itu tidak tertakluk kepada pengawasan bebas.
“Seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang yang menjadi kontroversi besar di negeri ini, SIA atau TIA tidak didedahkan kepada umum dan warga prihatin tidak dapat lihat penemuan dan kesimpulan penilaian ini.
“Perkara sama berlaku dalam kontroversi berterusan mengenai kolam tadahan banjir Kampung Bohol di Wilayah Persekutuan.
“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan mengambil perhatian terhadap seruan ini dan langkah yang perlu bagi ketelusan serta akauntabiliti lebih besar dalam membuat keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette