KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dilakukan secara ‘sembunyi-sembunyi’.
Menurut Mahathir, peguam yang mewakilinya tidak diberikan notis bahawa prosing berlangsung hari ini.
“Sepatutnya jika RCI itu diadakan, saya atau peguam saya menjangka akan dipanggil untuk hadir dan mengikuti prosiding itu sepenuhnya.
“Apabila peguam saya mendapat tahu mengenai prosiding RCI itu mereka telah cuba menghadirkan diri dan mengemukakan beberapa permohonan dan bantahan.
“Kesemua permohonan dan bantahan itu telah ditolak dan prosiding RCI itu akan diteruskan secara tertutup,” katanya dalam kenyataan.
Dr. Mahathir berkata, beliau atau peguamnya perlu diberi hak untuk hadir sepanjang prosiding berlangsung.
Ini kerana menurut peguam yang mewakilinya, Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), memperuntukkan ‘Hak untuk diwakili oleh peguam’.
Undang-undang tersebut mewajibkan kehadiran beliau atau peguam sepanjang prosiding berjalan sehingga ia selesai.
Dr. Mahathir persoal, bagaimana beliau mahu memberi penerangan, penjelasan atau mempertahan diri jika dia atau peguam tidak dibenarkan hadir.
“Yang menjadi pelik bagi saya ialah kenapa prosiding RCI ini diadakan secara sembunyi-sembunyi sedangkan ia telah diumumkan secara terbuka, anggota-anggota kerajaan memberi pendapat serta membuat tohmahan terhadap saya secara terbuka sebelum RCI ini bersidang,” soal Dr. Mahathir.
Katanya, ada beberapa permohonan lain yang pihaknya mahu lakukan termasuk memohon penarikan diri Tun Md Raus Bin Sharif (Penerusi RCI), Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu (Pesuruhjaya RCI) dan Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir (Pesuruhjaya RCI) kerana wujudnya konflik.- MalaysiaGazette