Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar bersama Duta Besar Arab Saudi, Mesaad Ibrahim Al Sulaim melihat jemaah haji ketika proses Kastam Arab Saudi Makkah Route di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto SYADILA AMARI, 21 MEI 2024.

SEPANG – Pemilihan Malaysia dalam program Makkah Route membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan Kerajaan Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi Lembaga Tabung Haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar berkata, tahap disiplin tinggi dalam kalangan jemaah haji negara turut menjadi faktor penyumbang kepada pemilihan Malaysia.

“Sekali lagi pada tahun ini Malaysia dipilih menyertai program Makkah Route dan ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

“Pelaksanaan Makkah Route telah banyak membantu mempermudahkan urusan jemaah haji negara kerana setelah melalui penerbangan selama lapan jam.

“Mereka tidak lagi perlu menunggu lama setibanya di Tanah Suci kerana proses pemeriksaan Jabatan Imigresen dan Kastam Arab Saudi telah diselesaikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu Mohd Naim merasmikan Pelancaran Makkah Route bagi Musim Haji 1445H/2024M di KLIA.

Hadir sama, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim.

Menurut Mohd Naim, menerusi program Makkah Route, ia secara tidak langsung akan mengukuhkan hubungan dua hala antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Arab Saudi.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia dan juga kepada Kerajaan Arab Saudi atas kepercayaan yang diberikan.

“Malaysia sekali lagi dipilih bagi musim haji tahun ini untuk menyertai program Makkah Route di samping enam buah negara lain iaitu Indonesia, Maghribi, Pakistan, Bangladesh, Ivory Coast dan Turkiye.

“Dengan kemudahan ini, jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi beratur panjang dengan jemaah haji dari negara lain,” katanya.

Untuk rekod, katanya, Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang diberikan kepercayaan oleh Kerajaan Arab Saudi melaksanakan Makkah Route melalui program perintisnya sejak 2017.

“Ia kemudian diteruskan dengan program penuh pada 2018, 2019, 2022 dan 2023. Pada tahun ini, Makkah Route telah diperluaskan keenam negara lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette