Anjing yang cuba dibawa masuk dari Turkiye melalui Terminal 1 KLIA berjaya dirampas MAQIS pada Isnin lalu.Gambar Ihsan MAQIS

SEPANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah berjaya mematahkan satu percubaan membawa masuk seekor anjing dari negara Türkiye pada Isnin lalu.

Pengarah MAQIS Selangor, Tuan Mohd Sobri Md Hashim berkata, pihaknya berjaya menggagalkan jenayah itu yang berlaku melalui pintu masuk Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kemasukan seekor anjing baka Pomeranian yang cuba dibawa masuk oleh warganegara Iran itu telah berjaya dikesan oleh dua pegawai penguat kuasa MAQIS sekitar 6.30 petang di Pejabat MAQIS Terminal 1.

“Anjing tersebut telah ditahan oleh pihak MAQIS kerana tidak mempunyai permit import,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, perbuatan mengimport haiwan tanpa permit yang sah dari MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan dibawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3), Akta yang sama.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“MAQIS akan sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikroorganisma yang dibawa masuk ke dalam Malaysia adalah bebas dari ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta tidak akan menjejaskan
sector pertanian negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast