eksport halal
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Potensi eksport bernilai RM2.4 bilion daripada perniagaan di Kazakhstan dan Uzbekistan menandakan peluang besar yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat Malaysia di rantau Asia Tengah itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata angka yang besar ini mencerminkan kepercayaan yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti perniagaan mereka terhadap Malaysia sebagai rakan strategik dalam perdagangan dan pelaburan.

“MITI akan memastikan komitmen eksport itu direalisasikan secepat mungkin untuk menyokong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

“Terdapat banyak peluang untuk syarikat Malaysia di sana,” katanya menerusi hantaran di laman X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) beliau hari ini.

Tengku Zafrul berkata melalui kehadiran MATRADE di Almaty dan Tashkent, MITI akan mengembangkan peluang perniagaan untuk syarikat Malaysia dan memastikan ini diterjemahkan kepada peluang komersial kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pekerjaan untuk rakyat.

Beliau merupakan sebahagian daripada delegasi yang mengiringi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan bermula 14-19 Mei.

Menurutnya, Malaysia dan Uzbekistan juga bersetuju untuk mengaktifkan semula Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC).

“JTC berfungsi sebagai platform untuk menangani isu berkepentingan; membincangkan bidang kerjasama sedia ada dan kemungkinan yang baharu; mengukuhkan kerjasama sektor swasta dan menggalakkan lagi perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast