Helikopter yang membawa Presiden Iran Ebrahim Raisi berlepas di sempadan Iran dengan Azerbaijan selepas perasmian empangan Qiz Qalasi, di Aras. Foto AFP

TEHRAN – Menteri Luar Russia Sergei Lavrov menyalahkan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran susulan nahas helikopter hingga mengorbankan Presiden Iran Ebrahim Raisi dan pegawai kanan negara yang lain.

Di luar mesyuarat menteri Pertubuhan Kerjasama Shanghai di Astana, Kazakhstan, Lavrov berkata, sekatan AS telah memburukkan keselamatan penerbangan di negara-negara di seluruh dunia.

“Amerika menafikan ini, tetapi sebenarnya negara lain yang menentang Amerika Syarikat mengumumkan disebabkan sekatan, negara mereka tidak menerima alat ganti untuk peralatan AS, termasuk penerbangan,” ulas Lavrov mengenai nahas itu.

Beliau mengulas mengenai tragedi nahas helicopter yang mengakibatkan kematian Ebrahim, Menteri Luar Iran Hossein Amirabdollahian, dua pegawai kanan tempatan serta dua pengawal, dua juruterbang dan seorang anak kapal.

“Kami bercakap tentang sengaja menyebabkan kemusnahan kepada rakyat biasa yang menggunakan kenderaan ini, dan apabila alat ganti tidak dibekalkan, ini secara langsung berkaitan dengan penurunan tahap keselamatan,” tambahnya.

Iran berada di bawah rejim sekatan AS yang teruk sejak 2018 apabila bekas Presiden AS, Donald Trump menarik diri daripada perjanjian antarabangsa mengenai program nuklear Iran dan mengenakan sekatan ke atas negara itu.

Sekatan itu jelas menyekat akses Iran kepada alat ganti, memaksa negara itu bergantung pada pengetahuan domestik untuk meningkatkan pesawat mereka. – Agensi

 

1 Komen

Comments are closed.