Mohd Asri Seman menunjukkan kedua-dua kes sitaan melibatkan rokok dan minuman keras pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang larangan import dengan anggaran kuantiti rampasan sebanyak 992,600 batang rokok dan 622.61 liter minuman keras dengan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 138,637.80 di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

KUANTAN – Seorang pekerja Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) warga Pakistan merupakan antara tiga individu yang ditahan dalam serbuan pada 10 Mei lalu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang kerana disyaki menjual arak dan rokok seludup.

Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, helah suspek dihidu pihaknya setelah mereka menjadikan sebuah kontena sebagai kedai runcit bagi membekalkan kedua-dua barangan tidak bercukai itu kepada pekerja ECRL di tapak projek tersebut.

Dalam serbuan jam 6 petang itu, dua lelaki ditahan warga Myanmar turut ditangkap dalam kedai runcit kontena berkenaan.

”Bahagian Penguatkuasaan JKDM Stesen Kuantan, Pahang telah melakukan serbuan di sebuah premis berhampiran tapak pembinaan stesen ECRL di Kuantan, Pahang dalam operasi kedua.

”Hasil pemeriksaan yang dilakukan, pasukan berjaya menjumpai rokok dan minuman keras pelbagai jenis dan jenama yang disyaki barang tidak berkastam ini dianggarkan berjumlah RM69,612.99,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Asri, ketiga-tiga warga asing berusia 20-an itu direman selama 15 hari yang berakhir Sabtu ini untuk membantu siasatan.

Terdahulu dalam operasi berasingan, pihak JKDM Pahang menemui rokok pelbagai jenama yang disyaki barang tidak berkastam berjumlah RM RM791,120 dalam serbuan di sebuah kediaman yang tidak berpenghuni di Kluang, Johor pada 4 Mei lalu.

Tambahnya, sindiket dipercayai menggunakan premis kediaman di kawasan perumahan untuk menyimpan barang tidak berkastam dengan tujuan mengelak daripada dikesan oleh agensi penguatkuasaan dan mengaburi pihak berkuasa.

Kata beliau, usaha mengesan pemilik rumah berkenaan sedang giat dijalankan untuk membantu siasatan dan kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976. – MalaysiaGazette