Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali meninjau kenderaan awam darat selepas Sesi Penyerahan Fleet Card SKDS 2.0 di Kawasan Rehat Klang Utara, Lebuhraya Baru Selat Klang Utara.

KLANG – Kerajaan tidak pernah menghapus mahupun memansuhkan pemberian subsidi diesel kepada rakyat yang dinikmati sejak sekian lama meskipun berlaku banyak kes ketirisan dan penyeludupan bahan api itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebaliknya kerajaan hanya melakukan penyasaran semula subsidi bahan api diesel agar ia benar-benar dinikmati golongan yang layak sahaja.

“Penyasaran semula subsidi bahan api bukanlah keputusan tergesa-gesa kerajaan. Apa yang dilakukan kerajaan bukan penghapusan mahupun pemansuhan, sebaliknya hanya penyasaran semula subsidi bahan api diesel.

“Ia melibatkan dua pemegang utama, pertama dalam konteks untuk menyelaraskan harga runcit bahan api diesel tersebut di stesen-stesen minyak, harga yang akan ditawarkan kepada semua pihak termasuk warga asing.

“Tetapi ada juga harga pada kadar khas yang akan diberikan kepada kumpulan-kumpulan sasar melalui pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan fleet card,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Sesi Penyerahan Fleet Card SKDS 2.0 kepada 15 syarikat pengangkutan darat bersama wakil syarikat minyak di Kawasan Rehat Klang Utara, Lebuhraya Baru Selat Klang Utara.

Menurut Armizan, langkah penyasaran subsidi ini menggunakan mekanisme yang lebih rapi melalui secara digital untuk membantu aspek penguatkuasaan.

Selain itu, komponen kedua penyasaran semula subsidi di luar stesen minyak ialah untuk memberikan bantuan sosial kepada golongan sasar terlibat yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap bahan api diesel.

“Menstrukturkan harga di stesen minyak itu kerja yang mudah, namun dalam konteks untuk kita melaksanakan mekanisme dalam menentukan pemberian bantuan golongan sasar bantuan sosial yang diperkukuhkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan.

“Hasrat kita untuk menyasarkan semula subsidi bahan api diesel kepada golongan sasar.

“Kita kena menyeragamkan mekanisme untuk memastikan tidak ada mana-mana pihak yang layak dan perlu dibantu itu akan terlepas pandang,” katanya.

Katanya, selagi mana mekanisme penyasaran subsidi bahan api mencapai sasarannya, selagi itulah kerajaan tidak akan menetapkan tarikh tertentu dalam permohonan SKDS dan fleet card.

“Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel pada tahun ini, namun selagi mana Jemaah Menteri belum berpuas hati dengan mekanisme penyasaran tersebut, termasuk dalam aspek sistem dan penentuan kumpulan sasar untuk mendapatkan bantuan sosial tersebut, maka kerajaan belum lagi menetapkan tarikh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette