Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Pindaan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dalam fasa akhir, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, pihaknya dalam proses mengharmonikan beberapa peruntukan dan memerlukan beberapa perbincangan lanjut antara KDN dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.

“Ini akan berlaku di peringkat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Jun ini.

“Kami optimis bahawa perkara ini akan berakhir dengan kita berjaya membentangkannya di Parlimen kerana diyakini apabila pindaan ini diluluskan nanti, akan memberikan impak besar kepada AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) dalam menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media tersebut adalah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Shobah Jamil.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, fokus utama dalam meminda akta terbabit adalah daripada aspek dekriminalisasi dalam penyalahgunaan dadah.

Ia akan dikategorikan sebagai kesalahan memasukkan bahan terlarang ke dalam badan dan pindaan tersebut akan mengurangkan beban kepada pihak polis.

“Kalau mengikut amalan sekarang, tanpa kita buat pindaan itu, ia akan membawa tugas tambahan kepada polis, kena buka IP (kertas siasatan), kemudian berakhir pertuduhan di mahkamah, kemudian ke penjara, penjara sesak, kes mahkamah jadi bertambah, tugas polis buka IP pun banyak.

“Jadi apabila ada elemen dekriminalisasi, maksudnya kita ada satu kaedah yang dibolehkan melalui akta ini, di mana mereka yang terbabit, boleh terus diberi peluang menjalani rawatan terutama membabitkan kes yang mereka datang secara sukarela (ke pusat pemulihan),” katanya.

Terdahulu, Saifuddin melancarkan Kempen ‘Tak Payah Tak Nak’ anjuran AADK sebagai usaha solidariti mencegah aktviti penagihan dan penyalahgunaan dadah.

Kempen itu bagi menyemarakkan sambutan Peringatan Hari Antidadah yang disambut pada Februari hingga Jun setiap tahun. – MalaysiaGazette