BAYAN LEPAS – Polis menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri warga Myanmar bagi membantu siasatan kes resit pesanan seorang pelanggan di sebuah restoran rangkaian piza di Kenari Avenue di sini, tertera ayat provokasi menghina agama Islam pada 15 Mei lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, tiga warga Myanmar serta seorang lelaki tempatan itu ditahan di sebuah pondok dusun durian di Sungai Ara, di sini, pada 16 Mei lalu.
Jelas beliau, lelaki tempatan berusia 67 tahun itu adalah majikan manakala tiga warga Myanmar berumur 19 dan masing-masing dua lagi 28 tahun pula merupakan pekerja kebun durian.
“Tiga suspek Myanmar itu direman sehingga 3 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Manakala suspek tempatan itu pula dibebaskan dengan jaminan polis selepas permohonan reman terhadapnya tamat Isnin lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, hari ini.
Tambah Hamzah, setakat ini pihaknya menerima 17 laporan polis berkaitan kes tersebut.
Media pada 16 Mei lalu melaporkan polis telah merakamkan keterangan lapan individu bagi membantu siasatan isu resit pesanan seorang pelanggan di sebuah restoran rangkaian piza di Kenari Avenue di sini, tertera ayat provokasi hina agama Islam.
Dua daripada lapan individu itu merupakan pekerja rangkaian piza tersebut.
Sebelum ini tular tangkap layar resit yang tertera ayat at this noisy place with stupid moaning sound like have sex eyeryday. stupid islam (di tempat yang bising ini dengan bunyi mengerang bodoh seperti melakukan hubungan seks setiap hari. Islam bodoh).
Tangkap layar hantaran gambar resit itu dikongsi warganet di beberapa akaun komuniti sehingga mendatangkan reaksi negatif. – MalaysiaGazette