Dr Muhamad Akmal Saleh.

JASIN – Pemuda UMNO mengecam penulisan dangkal Andrew Sia dan mendesaknya membuat memohon maaf terhadap kelantangan penulisannya yang menggelar Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai sebuah ‘Akademi Apartheid’ di sebuah portal berita, hari ini.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sebagai rakyat Malaysia, penulis itu seharusnya memahami sejarah penubuhan UiTM dan betapa sensitifnya intsitusi pendidikan itu terhadap orang Melayu serta bagaimana Perkara 153 perlu dipertahankan.

“Ini bukan soal pasal kita ambil hak orang lain (kerana) kalau kalau dasar Apartheid ini (digunakan) saya nak beritahu Andrew, tidak ada lagi orang Cina boleh belajar dalam mana-mana universiti tempatan di negara ini.

“Hari ini kita pertahankan apa yang ada dalam Perlembagaan Persekutan iaitu Perkara 153, jadi jadi saya nak paksa dia dan MalaysiaKini turunkan artikel yang dangkal dan sangat bodoh ini,” katanya.

Dr Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka ditemui selepas menyampaikan Insentif Projek Pembangunan dan Program Pertanian Bandar peringkat daerah di Pejabat Pertanian Jasin, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengulas penulisan Andrew Sia di sebuah portal berita dalam talian yang menggelar UiTM sebagai ‘Apartheid’, iaitu ini merupakan suatu dasar segregasi kaum yang zalim dengan memuliakan kaum orang putih berbanding orang kulit hitam di Afrika Selatan.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, ‘Apartheid’, adalah dasar kejam yang dibenci semua orang termasuklah oleh UMNO dan seluruh orang Melayu.

“Saya juga menggesa Andrew Sia memohon maaf pada seluruh orang Melayu dalam negara kerana kenyataaan ini sangat menggguris hati orang Melayu, malah sejarah penubuhan UiTM itu sendiri sebenarnya tidak pernah ambil mana-mana hak kaum di negara ini.

“Saya juga menggesa Pemuda UMNO seluruh negara untuk membuat laporan polis, hari ini berhubung penulisan ini yang kononnya berpaksikan kepada kebebasan bersuara yang semakin galak meracuni perpaduan kita,” katanya. – MalaysiaGazette