Nga Kor Ming.

KUALA LUMPUR  – Sebanyak 4,416 pemegang lesen Pemberi Pinjam Wang (PPW) berdaftar dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah industri kredit komuniti sehingga 30 April lalu.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu sebanyak 3,306 pemegang lesen berada di Semenangjung yang dikawal oleh kementeriannya.

“Manakala baki 1,110 pemegang lesen di Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan adalah di bawah kawal selia pihak berkuasa perlesenan di negeri masing-masing,

“Bagi tempoh sama, terdapat 881 pemegang lesen Pemegang Pajak Gadai (PPG) di seluruh negara dan kawa selia bagi kesemua pemenang lesen tersebut di bawah KPKT,” katanya selepas majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kredit Madani, di sini, hari ini.

Anugerah yang julung kali diadakan itu merupakan pengiktirafan atas inisiatif, usaha, tatakelola perniagaan serta perkhidmatan terbaik kepada PPW dan PPG berlesen.

Anugerah dwitahunan itu akan berlangsung pada 15 November depan dengan menampilkan 14 kategori yang dipertandingkan untuk PPW dan PPG berlesen.

Menurut Kor Ming, industri kredit komuniti yang dikawal selia KPKT tertakluk di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 (Akta 81).

“Industri kredit komuniti ini sebenarnya banyak membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya syarikat SME sebab kita lihat jumlah pasaran ataupun pinjaman yang diberikan adalah satu jumlah yang agak besar.

“Tahun lepas industri ini catat peningkatan sebanyak RM25 bilion. Daripada jumlah itu, 62 peratus adalah peminjam korporat manakala baki 38 peratus kepada peminjam individu,” jelasnya.

Tambah Kor Ming, KPKT turut memberi jaminan hak semua peminjam syarikat kredit komuniti melibatkan PPW dan PPG adalah terjamin.

Ujarnya, hanya syarikat PPW dan PPG yang melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) layak dipertimbangkan untuk diberi lesen.

“Setiap syarikat yang berlesen ini wajib hantar laporan transaksi kepada bahagian kredit komuniti di bawah KPKT yang akan dipantau bagi memastikan semua syarikat terbabit tidak melanggar undang-undang.

“Saya dengan rendah diri memohon rakyat Malaysia, sekiranya memerlukan pinjaman, kita ada saluran yang sah atau ‘hahal’. Jangan pinjam daripada Ah Long kerana ia merupakan aktiviti haram yang tidak tertakluk kepada undang-undang.

“Sebaliknya pinjaman daripada PPW dan PPG ini, hak mereka dijamin oleh akta peminjam wang dan pajak gadai,” katanya – MalaysiaGazette