SEGAMAT – Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Kampung Balai Badang, Buloh Kasap, di sini, kira-kira 9 pagi semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Segamat, Pegawai Bomba Kanan Zuraimi Harun berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai seorang lelaki berusia 66 tahun terjatuh di sungai berkenaan pada 4.47 petang semalam.
“Sebanyak 14 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS), Navara, Hilux dan bot digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bertugas dimaklumkan warga emas tersebut dikhuatiri terjatuh daripada bot ketika membuat tinjauan bot miliknya di kawasan sungai itu.
“Pasukan Keluaran Operasi hingga kini masih lagi membuat peninjauan di sekitar sungai dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama