Serbuan di Miri Sarawak 23 Mei lalu berjaya membawa kepada rampasan barangan bersubsidi bernilai lebih RM32 juta termasuk kapal tangki minyak. Ihsan Foto JKDNKA Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyeludupan pelbagai jenis barang bersubsidi, kontraban tidak berkastam dan hidupan liar dan dengan penahanan 14 individu dalam beberapa serbuan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, tangkapan itu membawa kepada rampasan pelbagai barang bernilai RM35.946 juta.

Katanya, serbuan yang dilaksanakan melalui Biro Jenayah Hidupan Liar (WCB)/Perisikan Siasatan Khas, JKDNKA Bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain dengan melancarkan empat operasi bersepadu iaitu tiga di Bintulu pada 20 Mei lalu dan satu di Miri, Sarawak pada 23 Mei lalu menerusi Op Taring Bravo 1, Op Taring Alpha 1 dan Alpha 2.

Rampasan Diesel bersubsidi oleh pasukan bersepadu JKDNKA di Sarawak 20 hingga 23 Mei lalu. Ihsan JKDNKA Bukit Aman

“Dalam serbuan pertama, pasukan bersepadu berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dengan tertangkapnya seorang lelaki tempatan dan merampas 32,000 liter diesel bersubsidi, 32 tangka IBC dan empat unit pam minta beserta hos yang dianggarkan bernilai RM140,200.

“Manakala pasukan bersepadu melakukan serbuan kedua sebelum berjaya membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan dan merampas 10,030 liter diesel bersubsidi bersama 16 buah tangki IBC, tiga unit pam minyak beserta hos dan seunit meter digital dianggarkan bernilai RM54,093.

“Kedua-dua kes berkenaan sedang disiasat di Bawah Sekyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,’ katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pasukan bersepadu meneruskan operasi dengan serbuan ketiga hasil kerjasama PDRM dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) yang membawa kepada tangkapan enam suspek warga asing.

Menurut Kamarudin, hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan pelbagai jenis barang kontraban iaitu sebanyak 7,172 liter minuman keras, 250,000 batang rokok dan dua buah van yang dianggarkan bernilai RM3,118,000.

Tangkapan suspek dan barang kontraban tidak berkastam iaitu minuman keras dalam Operasi Bersepadu Khas JKDNKA di Sarawak 20 hingga 23 Mei lalu.Ihsan JKDNKA Bukit Aman

Jelasnya, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c), dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Seterusnya pasukan bersepadu melaksanakan serbuan  terakhir pada 23 Mei di daerah Miri sebelum membuat tangkapan ke atas dua lelaki tempatan dan empat lelaki asing .

“Serbuan terakhir yang turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kos Sara Hidup Cawangan Miri juga merekodkan rampasan terbesar dalam operasi kali ini apabila menyita sebanyak 146,720 liter minyak diesel bersubsidi, dua bot tunda, satu kapal tangka minyak dan 3 unit pam minyak beserta hos; satu kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori binded, sebuah tangka skid, dua tangka besi dan dua tangka IBC yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM32.6 juta atau lebih tepat RM32,633,635.20,” katanya.

Serbuan di Miri Sarawak 23 Mei lalu berjaya membawa kepada rampasan barangan bersubsidi bernilai lebih RM32 juta termasuk kapal tangki minyak. Ihsan Foto JKDNKA Bukit Aman.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di Bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut Kamarudin, secara keseluruhannya, PDRM melancarkan 82 serbuan di seluruh negara bagi tempoh bermula 1 Januari hingga 24 Mei 2024.

“Hasilnya, kita berjaya menahan seramai 185 orang atas pelbagai kesalahan melibatkan kegiatan penyeludupan barang tidak berkastam, ketirisan Brangan kawalan dan bersubsidi, penyeludupan hidupan liar.

“Polis sepanjang tempoh itu turut membuat nilai rampasan pelbagai jenis barangan yang dianggarkan nilai berjumlah RM230.618 juta,” ujarnya. – MalaysiaGazette