Jho Low Fat Leonard
Jho Low

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan kes berprofil tinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak mengaku ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ‘dalang’ dalam skandal penyelewengan dana syarikat strategik itu.

Perkara itu diakui oleh saksi, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin ketika sesi soal balas bersama peguam kepada Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini.

Soal Muhammad Shafee, adakah saksi bersetuju Jho Low adalah puppet master yang melakukan percaturan dalam skandal 1MDB, Nur Aida mengangguk dan berkata; ‘ya’.

Saksi bagi perbicaraan 1MDB, Nur Aida Ariffin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 5 JANUARI 2024.

Muhammad Shafee: Dalam kenyataan saksi kamu kata Jho Low ini adalah ‘pencatur’. Apakah maksud itu?

Nur Aida: Saya katakan Jho Low ini mainkan peranan puppet master (dalang) bagaimana operası 1MDB ini perlu dilakukan.

Muhammad Shafee: Maksud anda, Jho Low berkuasa sepenuhnya? Begitu?

Nur Aida: Ya.

Muhammad Shafee: Adakah anda katakan bahawa Jho Low ini memainkan peranan utama dan aktif dalam melakukan pengaturan operasi 1MDB? Adakah ini bermaksud seperti permainan catur?

Nur Aida: Ya. Dia catur.

Muhammad Shafee: Anda tahu permainan catur?

Nur Aida: Ya.

Dalam pada itu, Nur Aida juga bersetuju Jho Low hanya dilantik sebagai penasihat kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya di tukar nama kepada 1MDB sekitar tahun 2009.

Nur Aida berkata Najib yang juga bekas Perdana Menteri juga tidak melantik Jho Low untuk apa-apa jawatan secara rasmi dalam syarikat tersebut.

Untuk makluman, saksi pendakwaan kes SRC International Sdn Bhd juga membabitkan Najib yang merupakan bekas pegawai khas kepadanya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin juga pernah membuat pendedahan kepada mahkamah bahawa Jho Low adalah dalang di sebalik penyewelengan dana itu.

Prosiding akan bersambung esok di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Ketika ini Najib yang juga mantan Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast