ISKANDAR PUTERI – Polis menahan lima individu kerana menunggang secara melulu dalam Op Samseng Jalan yang diadakan di sekitar Jalan Lebuh Ismail Sultan, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Polis, Kumarasan Muniandy, kelima-lima mereka berumur dalam lingkungan 17 hingga 30 tahun.
“Kesemua mereka ditahan kerana memandu motosikal secara berbahaya dengan menundukkan kepada selari dengan meter, membuat gaya superman di atas motor serta melakukan aksi zig-zag di atas jalan untuk berlumba.
“Kumpulan ini seolah-olah tidak serik walaupun operasi di kawasan itu telah dilakukan secara berkala.
“Bukan itu sahaja, malahan mereka juga dilihat seperti mencabar pihak berkuasa dalam usaha memerangi isu samseng jalanan ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh menyebabkan seseorang itu dihukum penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM20,000 serta lesen digantung untuk dua tahun.
“Kami menasihati para ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa memantau pergerakan anak mereka terutamanya pada waktu malam di cuti persekolahan ini.
“Hal ini adalah untuk mengelakkan para remaja terjebak dengan kegiatan samseng jalanan dan kami sebagai pihak berkuasa akan terus komited untuk mencegah aktiviti lumba haram ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette