Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum menerima pengisytiharkan harta daripada dua anak bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat perbincangan antara pengawai penyiasat dan peguam bagi tempoh pengisytiharan yang melibatkan Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir.

“Kalau tak silap saya, kita masih belum lagi terima di mana baru-baru ini ada perbincangan dengan pegawai penyiasat saya dengan pihak peguam untuk undang-undang dari segi tempoh bermula daripada dia kena isytihar. Itu saya serahkan kepada peguam penyiasat saya,” katanya ringkas kepada media.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Ir. Ts. Abdul Razib Dawood hadir merasmikan Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MEI 2024

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad, Bangsar, hari ini.

Turut hadir Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Ir. Ts. Abdul Razib Dawood.

Pada 26 April lalu media melaporkan, SPRM sekali lagi memberi tempoh lanjutan 30 hari bagi dua anak Mahathir mengisytiharkan harta milik mereka.

Mirzan dan Mokhzani dikehendaki memenuhi permintaan berkongsi perincian harta serta seluruh aset yang diperoleh sejak 43 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1981 ketika bapa mereka menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Azam menjelaskan, dua anak bekas perdana menteri itu boleh didakwa sekiranya gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi penguasa itu.

Pada 18 Januari lalu melaporkan, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – MalaysiaGazette