Foto: SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman tiga penjawat awam sebuah jabatan berkaitan urusan tanah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM25,000 bagi memudahkan urusan permohonan tanah E-Haram di negeri tersebut.

Perintah reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 1 Jun ini dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin selepas suruhanjaya itu membuat permohonan reman tersebut di Mahkamah Majistret Kemaman, pagi tadi.

Sumber memberitahu, ketiga-tiga suspek lelaki yang berusia sekitar 30-an dan 40-an ditahan lewat petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di SPRM Kemaman.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek melakukan kesalahan tersebut antara tahun 2022 hingga 2023 dan turut terlibat secara langsung dalam menjalankan siasatan, membuat pengukuran sempadan serta menyediakan ulasan teknikal bagi tanah yang dimohon.

“Sepanjang tahun 2022 hingga 2023 itu juga didapati wujud beberapa transaksi wang ke akaun salah seorang suspek sehingga mencecah kira-kira RM25,000 dan kesemua suspek turut disyaki menerima antara RM500 hingga RM800 mengikut tugasan daripada pemohon,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi telah mengesahkan mengenai penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah akta 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pepatah Melayu ada menyebut ” Anjing yg dah biasa makan najis, walau tak makan sekali pun dia tetap menghidunya juga”

Comments are closed.