Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh bersama 124 warga asing yang diperiksa dalam Ops Kutip Jabatan Imigresen Malaysia di penempatan haram warga asing di Sentul, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Seramai 124 warga asing termasuk Myanmar, Indonesia dan India diperiksa dalam Ops Kutip bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan penempatan haram di Sentul, di sini, malam ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dari jumlah itu, seramai 95 individu merupakan warganegara Myanmar, tiga dari Indonesia dan 22 warga India.

“Hasil pemeriksaan kita mendapati 95 warga Myanmar termasuk 11 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan bersama ibu masing-masing.

“Selain, terdapat tiga dari Indonesia dan 21 warga India yang baru sahaja sampai dari tempat bekerja dan mempunyai permit kerja dengan pihak DUKE,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh bercakap pada sidang media berkenaan Ops Kutip Jabatan Imigresen Malaysia di penempatan haram di Sentul, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MEI 2024

Beliau berkata, lebih mengejutkan apabila tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu disewakan rakyat tempatan kepada warga asing kira-kira RM400 sebulan sebagai rumah kediaman sejak empat tahun lalu.

“Mereka mendakwa menyewa tempat ini disewa daripada pemilik orang Melayu tempatan.

“Pihak Imigresen akan bekerjasama dengan DBKL dan agensi-agensi lain untuk mengenal pasti siapa yang memberikan sewa sedang tempat ini.

“Ini bukan milik mereka, ini adalah tanah rizab DBKL untuk tujuan-tujuan lain,” katanya.

Selain itu, Ruslin juga berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan dalam Ops Kutip ini merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Hasil pemeriksaan kita dapati mereka ini sebahagiannya sudah berkeluarga, mempunyai anak dan isteri yang majoritinya adalah Myanmar dan kita percaya berbangsa Rohingnya.

“Sebahagian mereka memiliki kad UNHCR, kita akan buat pengesahan dengan UNHCR esok dan dokumentasi kesemua mereka yang kita periksa hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka yang tidak mempunyai dokumen sah termasuk permit kerja dan pasport akan dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk pemeriksaan dan tindakan undang-undang.

“Dari situ kita akan buat penentuan berapa ramai dalam kalangan mereka yang kita tahan, malam ini kita akan buat dokumentasi.

“Kesalahan yang wujud di sini ada dua, antaranya adalah tidak memiliki dokumen sebahagian tiada pasport, atau pas kerja.

“Kedua tinggal lebih masa, kita tengok tadi ada yang pasport 2023, mereka masih bawa pasport yang tamat tempoh,” katanya.

Katanya lagi, sebanyak 20 hingga 30 rumah digempur pihak berkuasa pada malam ini, di mana rata-rata didiami secara berkongsi dan berkeluarga.

“Rumah yang digempur antara 20 hingga 30 rumah, nak kata rumah ada macam bangsal.

“Asal kawasan ini adalah penempatan setinggan rakyat tempatan, tapi fokus kita kepada warga asing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast