Remaja yang maut selepas terjatuh dalam gaung ketika beriadah di Bukit Broga semalam disahkan meninggal dunia petang tadi. - Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Keterujaan seorang remaja lelaki menjalani aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan kenalannya di Bukit Broga, Semenyih petang semalam berakhir dengan tragedi.

Mangsa yang berasal dari Rumah Kebajikan Keharmonian Sungai Buloh pada mulanya dilaporkan sesat semasa pendakian  akhirnya telah ditemui dalam keadaan tidak sedar diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor telah menerima panggilan kecemasan pukul 4.08 petang daripada lelaki yang dipercayai penjaga kepada mangsa.

“Maklumat awal dari penjaga itu melaporkan mangsa, Adi Putra Affendi berumur 16 tahun dipercayai sesat semasa sedang menjalankan aktiviti riadah bersama penjaganya, Jamaluddin Wahab berusia 40-an dan dua rakannya, Fizo dan Qayyum yang masing-masing berusia 13 tahun.

“Mereka dipercayai mula mendaki bukit itu seawal 8 pagi semalam sebelum mangsa disedari hilang dan bomba menerima laporan kehilangannya.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih telah digerakan bagi menyelaras gerakan mencari dan menyelamat bersama-sama agensi bantuan lain,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Wan Md Razali, gerakan mencari dan menyelamat mangsa merangkumi pencarian dari puncak satu hingga ke puncak ketiga seluas 1.5 kilometer.

Katanya lagi, kaedah yang digunakan dalam operasi tersebut adalah sweeping searching dari puncak tiga hingga ke Pusat Kawalan Bomba sebelum pencarian hari pertama ditangguhkan pukul 2.30 pagi.

Pencarian juga dibangtu oleh dua anjing K9 bomba bernama Tipo dan Aros.

“Pencarian hari ini diteruskan sebelum pada lebih kurang 2.50 petang tadi dan pasukan penyelamat telah menjumpai mangsa tersebut pada jarak 100 meter dari pintu gerbang Bukit Broga.

“Mangsa juga ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana dipercayai terjatuh gaung pada kedalaman 10 meter dan dibawa keluar dari kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, pada pukul 3.42 petang tadi, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian,” ujarnya.

Siasatan awal pihaknya mendapati, penjaga tidak bersama mangsa ketika kejadian berlaku kerana laluan balik semasa trekking bukit berbeza.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis yang kemudian dihantar ke Hospital Kajang untuk proses bedah disiasat bagi mengetahui punca kematian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast