KUANTAN – Hanya pemilik kenderaan diesel mengangkut barang yang memiliki fleet card akan terus menikmati manfaat Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKSD) 2.0.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata pemilik kenderaan diesel bagi mengangkut barang boleh mengemukakan permohonan sebelum subsidi tersebut ditarik balik.
Untuk rekod, sebanyak 23 jenis kenderaan mengangkut barang telah dsenaraikan bagi yang layak menerima subsidi diesel melalui SKSD 2.0.
”Setakat ini sebanyak 90,000 kenderaan sudah menerima fleet card masing-masing. KPDN hanya memantau untuk kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan mengangkut barang bagi yang layak menerima subsidi diesel,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Ops Terjah Bersepadu di beberapa premis perniagaan di sekitar Jalan Pasar Besar Kuantan hari ini.
Fuziah berharap para pemilik mengambil langkah segera membuat permohonan bagi mengelak mereka tercicir daripada menikmati kemudahan itu.
“Sebab itu penting pemilik kenderaan bagi mengangkut barang untuk daftar dan jangan ketinggalan bagi membolehkan mereka menikmati subsidi sebelum subsidi itu ditarik.
“Apabila subsidi itu ditarik balik, hanya mereka yang ada fleet card sahaja yang akan dapat diesel pada harga subsidi,” katanya.
Terdahulu, operasi hari ini membabitkan 22 pegawai dan anggota daripada KPDN Pahang dan Jabatan Imigresen Malaysia Pahang membuat tinjauan dan pemeriksaan terhadap pekedai runcit yang melakukan ketirisan terhadapa barangan kawalan dan bersubsidi kepada warga asing. – MalaysiaGazette