Buaian di pondok depan rumah tempat mangsa berehat semasa kejadian dipanah petir di Sungai Layar di sini semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang pemandu kren maut dipanah petir ketika sedang berehat di pondok hadapan rumahnya di Sungai Layar di sini semalam.

Mangsa, Mohammad Shahrim Sheh Ali, 31, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh isterinya pukul 10 malam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 9.45 malam ketika mangsa sedang tidur sendirian atas buaian di pondok berkenaan.

Cuaca ketika itu hujan lebat beserta petir.

Jelasnya, abang serta rakan mangsa menyangka lelaki itu sedang tidur dan 15 minit kemudian isteri serta rakannya cuba mengejutkan mangsa namun mendapati dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Susulan itu, mereka membawa mangsa  ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan. Bagaimanapun, doktor mengesahkan mangsa  telah meninggal dunia dalam perjalanan dari rumah ke HSAH.

“Pegawai penyiasat juga telah melakukan pemeriksaan terhadap mangsa dan didapati tiada unsur jenayah dalam kematian tersebut sebelum mayat dihantar ke jabatan forensik hospital bagi proses bedah siasat” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa maut akibat terkena panahan petir.

“Selain itu, siasatan di lokasi kejadian juga mendapati terdapat kesan terbakar pada kayu yang digunakan untuk menggantung buaian tersebut serta wayar elektrik putus.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – MalaysiaGazette