KUALA LUMPUR – Prestasi dan operasi THP Plantations (THP) tidak akan terjejas dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel.

“THP sebagai pemain huluan dalam rantaian bekalan kelapa sawit telah menggunakan diesel pada kadar perindustrian dan dengan itu, penyingkiran subsidi diesel tidak akan memberi kesan kepada prestasi kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bahkan, THP mengalu-alukan Program Budi Madani yang diumumkan semalam untuk memberi subsidi diesel bersasar kepada pekebun kecil agro komoditi.

Menurutnya, subsidi ini akan memberikan faedah kepada pekebun-pekebun kecil yang membekalkan buah sawit kepada kilang-kilang minyak sawit milik THP.

THP berkata, syarikat itu melaksanakan inisiatif membeli buah tandan segar (BTS) sawit daripada pekebun kecil bumiputera bagi meningkatkan kapasiti kilang sawit miliknya, dan pada masa yang sama, menyumbang pendapatan lebih baik kepada golongan ini.

Kerjasama strategik bersama pekebun kecil ini adalah pendekatan serampang dua mata yang memberikan pulangan menarik kepada keduadua pihak, selain menjadi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan menyasarkan peningkatan status ekonomi pekebun kecil bumiputera.

“Inisiatif ini juga mewujudkan rantaian nilai mampan bagi pekebun kecil, THP dan Lembaga Tabung haji (LTH). Berpandukan sambutan yang amat menggalakkan, inisiatif berkenaan sudah dilebarkan hampir ke seluruh enam kilang milik THP yang beroperasi.

“Program ini menyumbang 30% kepada BTS yang diproses oleh kilang-kilang minyak sawit THP,” katanya.

Program Budi Madani terutamanya kepada Pekebun Kecil Komoditi Sawit akan dapat memberikan faedah yang lebih baik kepada mereka yang menggunakan pelbagai jenis pengangkutan persendirian seperti lori kecil untuk mengeluarkan buah sawit daripada ladang-ladang dan menghantarnya ke kilang-kilang sawit milik THP.

THP menyokong usaha murni kerajaan untuk menambah baik dan mengukuhkan ekonomi negara. Inisiatif ini adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan kami akan memberi komitmen untuk menyumbang secara positif kepada matlamat ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette