KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur melalui Dana Pemacu sehingga RM3 bilion.
Perdana Menteri berkata, ia akan dilakukan dalam pelaburan patuh syariah untuk menyokong pertumbuhan tinggi syarikat tempatan Malaysia dan juga memangkin ekosistem pelaburan teroka.
Katanya, ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan dan dipergiatkan untuk meningkatkan ekosistem pelaburan di Malaysia.
Jelas Anwar, pengambilan risiko adalah perlu agar dapat mengatasi pencapaian masa lalu dan benar-benar memanfaatkan potensi di hadapan.
“Saya menggalakkan institusi kita untuk melabur, berinovasi dan menyepadukan serta berfikir besar untuk membawa penyelesaian yang masih belum dilihat oleh kewangan konvensional.
“Kita mesti pergi ke tempat yang orang lain takut untuk melangkah, dan bekerja merentasi forum teknologi global, seperti kata pepatah: Fortes fortuna adiuvat – nasib memihak kepada yang kuat.
“Khususnya, inovasi dalam sektor halal harus menjadi tumpuan utama untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan merentasi rantaian bekalan hujung ke hujung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam dengan tema Ekonomi Islam Global: Agenda Reformasi Untuk Kesejahteraan Bersama di sini, hari ini.
Pelaburan patuh syariah yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu merangkumi 50 peratus daripada komitmen modal Dana Pemacu yang berjumlah RM6 bilion.
Dana Pemacu akan menjadi strategi pelaburan ekuiti swasta tertumpu Malaysia yang menyasarkan sektor ekonomi utama termasuk keterjaminan makanan, pendidikan, penjagaan kesihatan, peralihan tenaga, ekonomi digital, keterangkuman kewangan dan tema kritikal berkaitan impak lain di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI.
Ia akan dilaksanakan menerusi dana-dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) dengan kerjasama antara bakat tempatan dan pengurus pelaburan antarabangsa merangkumi tiga kelas aset berlainan iaitu ekuiti swasta, infrastruktur dan hartanah.
Langkah lain termasuk penubuhan ‘Social Exchange’ pertama di Malaysia oleh Sekuriti Malaysia (SC) yang merupakan pendekatan berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan hasil sosial yang positif.
Langkah itu akan memberi manfaat kepada entiti seperti NGO, perusahaan sosial dan Majlis Agama Islam Negeri.
“Saya juga berbesar hati memperkenalkan dimensi baharu kepada terbitan sukuk kita di bawah kerajaan Malaysia melalui struktur wakalah ‘bil-khadamat’.
“Kita merancang untuk memuktamadkan sukuk ini menjelang 2025, sambil berusaha untuk menyelesaikan semua pengaturan dan penyediaan yang diperlukan,” katanya
Anwar berkata, kerajaan akan terus berinovasi ke atas struktur sukuk, terutama bagi memenuhi keperluan peralihan iklim dan tenaga bersama-sama dengan kemampanan, membangunkan inovasi lalu seperti struktur sukuk ihsan pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dan terkait dengan wakaf.
“Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC), melalui inisiatif Pusat Aset Digital Islam (IDAC), akan secara aktif mengumpul dan melabur dana secara digital berdasarkan teknologi blockchain, dengan memulakan token yang disokong oleh aset Islam dan juga sandbox kewangan digital Islam,” katanya.
Turut hadir Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. – MalayiaGazette