PUTRAJAYA – Kesemua empat mata pelajaran elektif STEM iaitu mata pelajaran Sains Tulen (Fizik, Kimia dan Biologi) serta Matematik Tambahan menunjukkan peningkatan prestasi dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 berbanding tahun sebelumnya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mata pelajaran Fizik mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 0.22 dan menjadi mata pelajaran berprestasi terbaik dalam kumpulan ini dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 4.15 mata.
“Pencapaian prestasi yang cemerlang bagi keseluruhan SPM 2023 menjadi satu indikator penting untuk meningkatkan minat murid terhadap STEM melalui kerjasama secara Whole-of-Government dan Whole-of-Nation.
“Ujian Amali Sains (UAS) yang dijalankan selari dengan strategi memartabatkan pendidikan STEM di bawah Teras 4 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk membina Bakat STI yang adaptif,” katanya.
Menterinya, Chang Lih Kah berkata, strategi dan sinergi bersepadu diperlukan melalui pendekatan quadraple helix agar bakat dalam bidang STI dapat dibangunkan untuk mencapai misi dan aspirasi negara maju berteknologi tinggi menjelang 2030 kelak.
Bagaimanapun, MOSTI melihat penurunan peratusan pelajar yang mengambil mata pelajaran penting seperti Matematik dan subjek STEM meski ia menjadi prasyarat supaya mereka boleh melanjutkan pengajian ke bidang yang berkaitan.
Matapelajaran Matematik Tambahan turun sebanyak 3.33%, Biologi pada kadar (-2.2%), Fizik (-1.42%) dan Kimia (-1.42%) pada tahun 2023 berbanding tahun 2022.
“Kami optimis bahawa pemerkasaan pendidikan STEM akan melahirkan masyarakat Malaysia yang berpengetahuan tinggi serta berfikiran kritkal untuk berdepan dengan era ekonomi digital dan berpacukan teknologi dan inovasi tinggi.
“Dalam kesempatan ini, MOSTI ingin mengucapkan syabas kepada semua lepasan SPM 2023 di atas pencapaian mereka dan semoga kegigihan serta dedikasi mereka dapat memberi inspirasi kepada ramai pihak,” katanya. – MalaysiaGazette