Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemegang saham Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation) meluluskan pertukaran nama kepada SD Guthrie dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan pada hari ini.

SD Plantation berkata, EGM itu menerima satu resolusi khas cadangan pihak lembaga pengarah untuk menukar nama syarikat kepada jenama baharu setelah memperoleh peratusan undi setuju sebanyak 99.99%.

Kira-kira 80% saham SD Plantation dimiliki oleh institusi-institusi utama di Malaysia termasuklah Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan [Diperbadankan] (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Sokongan padu ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan para pemegang saham kami,” menurut Pengerusi SD Plantation, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.

Permohonan cadangan penjenamaan baharu syarikat tersebut juga telah dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk diluluskan.

Jenama SD Guthrie memberi penghormatan kepada dua jenama terkemuka dalam industry perladangan Malaysia – Kumpulan Guthrie Berhad dan Sime Darby Plantation Berhad.

Nama Guthrie juga sinonim dengan salah satu tindakan berani yang berjaya dilaksanakan oleh PNB pada tahun 1981.

Dalam peristiwa tersebut, PNB, melalui langkah yang kini dikenali sebagai ‘dawn raid’ (serbuan fajar) yang dilaksanakan selama empat jam di Bursa Saham London, berjaya merampas pemilikan Guthrie dan memindahkan kawalan sepenuhnya syarikat gergasi
tersebut kepada Malaysia.

Pada tahun 2007, Guthrie, serta Sime Darby telah bergabung dengan syarikat Golden Hope Plantations untuk membentuk kumpulan Syarikat baharu Sime Darby yang lebih besar, di mana SD Plantation merupakan divisyen terbesar kumpulan syarikat tersebut.

SD Plantation telah disenaraikan sebagai syarikat awam secara berasingan di Bursa Malaysia pada 30 November 2017, berikutan pemecahan Kumpulan syarikat Sime Darby yang menghasilkan penyenaraian tiga syarikat “Sime Darby” secara berasingan iaitu, Sime Darby Berhad, Sime Darby Property Berhad, dan SD Plantation.

Namun situasi ini sering mencetuskan kekeliruan dalam pasaran kerana ketiga-tiga syarikat tersebut masih berkongsi jenama dan logo yang sama.

Selain itu, hak milik dan kawalan jenama ‘Sime Darby’ oleh Sime Darby Berhad turut memberi kekangan kepada SD Plantation untuk mengembangkan operasi syarikat.

Sebagai pemegang lesen di bawah Perjanjian Lesen Jenama dan Tanda Perniagaan, SD Plantation dikenakan bayaran yuran tahunan untuk menggunakan jenamanya dan perlu memohon kebenaran Sime Darby Berhad sebagai pemilik jenama, untuk sebarang urusan berhubung penggunaan dan aplikasi jenama tersebut.

“Sebagai SD Guthrie, kami akan terus memacu penghasilan nilai jangka panjang bagi pihak-pihak berkepentingan kami. Beberapa peluang pertumbuhan dalam sektor-sektor berkaitan yang akan kami terokai secara aktif sebagai SD Guthrie telah dikenalpasti, selaras dengan nilai dan tujuan kami,” kata Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, Pengarah Urusan Kumpulan SD Plantation.

Pada 7 Mei 2024 yang lalu, SD Plantation telah mengumumkan cadangan syarikat tersebut untuk bekerjasama dengan pihak PNB serta Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam membangunkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian di Negeri Perak, Malaysia.

Pelan tersebut turut melibatkan pembangunan ladang tenaga solar seluas 660 ekar sebagai sumber tenaga hijau utama bagi kawasan perindustrian tersebut.

Logo baharu SD Guthrie akan diumumkan tidak lama lagi.

Sementara itu, SD Plantation akan terus didagangkan di Bursa Malaysia sebagai Sime Darby Plantation Berhad (Kod Saham: 5285) sehingga pendaftaran dan permohonan jenama barunya diluluskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia. – MalaysiaGazette