DURIAN TUNGGAL – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus cemerlang apabila menjadi juara berganda dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) apabila kadar Kebolehpasaran Graduan (GE) 2023 mencecah 97.7% dan 76.7% graduan bekerja.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan pencapaian terbaik dalam konteks kebolehpasaran graduan mereka.
“Peratusan GE telah meningkat sebanyak 1.3% berbanding graduan tahun 2022 iaitu 96.4% dan keputusan ini dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berdasarkan analisis dan keputusan rasmi yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Kejayaan ini turut memenuhi kriteria pengisian agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Pendidikan Berkualiti (SDG 4) serta Pekerjaan Baik dan Kemajuan Ekonomi (SDG 8) yang ditubuhkan oleh PBB.
“Malahan, UTeM juga telah naik dari tangga ketujuh (2022) kepada tangga kelima (2023) berdasarkan keputusan GE keseluruhan 20 buah universiti awam,” katanya.
Selaku peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), UTeM jelas memacu pada landasan yang tepat selari dengan hasrat nasional untuk merentas sempadan antarabangsa, ujarnya.
“Ia termasuk dalam aspek penawaran program pengajian dan penjanaan graduan UTeM ternyata memenuhi acuan dan keperluan industri serta pasaran kerja industri global.
“Sehubungan dengan itu, kami menyeru mereka yang berminat untuk menyambung pengajian teknikal dan TVET memohon UTeM sebagai pusat pengajian mereka seterusnya menjadi graduan pilihan majikan,” tambahnya. – MalaysiaGazette