KUALA LUMPUR – Orang ramai ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan panggilan mencurigakan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menurut SKMM, saranan tersebut dibuat susualan peningkatan kes yang diterima dalam tempoh seminggu yang lalu.
Katanya, modus operandi yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu.
“Pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai pegawai MCMC dan memaklumkan bahawa nombor telefon mangsa telah terbabit dalam kegiatan jenayah.
“Sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian tersebut akan disekat atau disenarai hitam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
MCMC berkata, sebarang pemakluman berkaitan suruhanjaya itu lazimnya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang ataupun menerusi platform media sosial MCMC.
Berikutan itu, MCMC menggesa orang ramai untuk tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian dan disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil (block call/reject list).
“Sekiranya menerima panggilan-panggilan mencurigakan, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997, yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.
“Orang ramai juga boleh melayari portal Sebenarnya.my
untuk mendapatkan pengesahan mengenai sesuatu berita yang tidak diketahui kesahihannya,” katanya – MalaysiaGazette