KLANG – Seramai 20 individu dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng TR’.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Berdasarkan pertuduhan, 16 lelaki dituduh menjadi ahli kumpulan ‘Geng TR’ antara November 2019 hingga 2 Mei 2024 di Sungai Janggut Seafood Restaurant (Jeram) Sdn Bhd, Sg. Janggut, Jeram Kuala Selangor.
Mereka adalah N. Nithiyan; S. Logan; R.Parthipan; M. Keshava Nair; A. Balamurugan; V.S Wilbert; M. Ramakrishnan; E.Mohan; M.Thanasekaran; Edward Liew; S.Manoraj; M.Amaran; S. Hemanathan; K. Thana Seelan; K.Ravishankar dan Muhammad Razi Abdullah .
Empat lagi dituduh melakukan kesalahan berkenaan pada waktu yang berbeza.
A. Kogilan dan M. Tineskumar didakwa melakukan kesalahan tersebut pada November 2019 hingga 3 Jun 2023 manakala G. Deeneskumar pula dituduh menjadi ahli kumpulan itu di antara November 2019 hingga 28 Januari 2024.
K. Venaigaraj pula pada November 2019 hingga 7 November 2023.
Semua 20 tertuduh yang berumur di antara 26 hingga 51 tahun dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574].
Sekiranya didapati bersalah, setiap seorang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi daripada 20 tahun.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, hakim menetapkan 26 Jun ini bagi sebutan semula kes dan pengurusan pindahan kes.
Terdahulu, pasukan pendakwa raya bagi kes tersebut diwakili oleh Shafiq Hasim, Lina Hanini Ismail dan Syafinas Shabudin.- MalaysiaGazette