Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan hadiah pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQK) Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M kepada pasukan Negeri Sembilan yang dinobatkan sebagai johan keseluruhan

KUANTAN – Al-Quran bukan sekadar untuk dipertandingkan bacaannya atau untuk majlis tilawah semata-mata.

Tetapi al-Quran mempunyai kesaling hubungan serta panduan kepada manusia merangkumi pelbagai aspek kehidupan,kata Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Oleh itu, beliau menyeru setiap umat islam untuk menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan utama setiap isi rumah.

“Menghayati al-quran sebagai panduan lengkap kepada manusia dalam pelbagai aspek kehidupan seperti hubungan keluarga, hubungan masyarakat, penjagaan alam sekitar, sains, politik, agama, undang-undang, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan dan lain-lain lagi.

“Manfaat al-Quran tidak dapat disangkal sama sekali, malah, kebaikannya merangkumi umat manusia sejagat. Maka, setiap inti pati al-Quran perlu dihayati dalam usaha kita menjadikan negara ini sebagai negara yang baik.

”Setiap isi rumah bukan sahaja perlu mempunyai kitab suci al-Quran, tetapi juga naskhah tafsir al-Quran sebagai rujukan, serta memanfaatkan masa bersama keluarga membaca dan tadabbur Al-Quran secara berjemaah,” kata Tengku Hassanal.

Tengku Mahkota Pahang berucap demikian pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Dan Hafazan Al Quran Peringkat Kebangsaan, di Auditorium Darul Makmur Jabatan Penyiaran Pahang, Kuantan, Pahang.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusof.

Tambah Tengku Hassanal, jika ada orang Barat yang bukan Islam pun memandang tinggi al-Quran, kenapa ia tidak dalam kalangan umat Islam sendiri.

”Lebih mengagumkan, terdapat trend dalam Tik Tok, iaitu, yang digerakkan oleh seorang influencer (pempengaruh) bernama Megan Rice.

”Beliau yang telah memeluk Islam pada akhir tahun lepas amat kagum dengan Al-quran yang mampu menjawab semua persoalannya,” titahnya.

Beliau berkata, pelbagai usaha dijalankan oleh banyak pihak bagi memartabatkan Islam dan menzahirkan kecintaan mereka terhadap agama Islam termasuk menghayati isi kandungan dan pengajaran daripada Al Quran.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast