SENTUL – Seorang peguam mempersoalkan kewajaran tindakan seorang guru menjemur murid tahun lima kira-kira tiga jam sehingga mangsa mengalami strok haba yang teruk.

“Wajarkah seorang guru meninggalkan seorang kanak-kanak di bawah terik matahari sedangkan kita semua ambil maklum cuaca sejak kebelakangan ini sangat panas?,” soal peguam keluarga mangsa, Dinesh Muthal berkata,

Lebih mengecewakan beliau apabila kejadian ini kurang dipedulikan oleh pihak-pihak tertentu walaupun hampir sebulan berlaku berbanding kes masak maggi di stesen minyak yang tular baru-baru ini.

Beliau mendakwa, keluarga kepada murid tersebut sudah membuat laporan polis.

Mengulas pertanyaan, beliau berkata, ibu kepada mangsa ada bertanya kepada guru mengapa anaknya dijemur melalui WhatsApp kelas sejurus kejadian.

Malangnya dia disekat daripada aplikasi tersebut.

Malah, peguam ini mendakwa, keluarga mangsa dihalang untuk datang ke sekolah dan jika mereka ke sekolah, ibu bapa akan didakwa kerana melakukan pencerobohan.

“Kalau macam ini, bagaimana ibu bapa mangsa mahu mengetahui apa yang berlaku,” katanya pada sidang media di sini.

Dinesh turut mendakwa, mangsa telah diberi tiga surat amaran oleh sekolahnya kerana tidak hadir sedangkan ketika itu murid berkenaan masih menerima rawatan di Hospital Ampang.

Dalam pada itu, jurucakap kepada keluarga murid itu, Dayalan Sreebalan berkata, keluarga mangsa masih tidak mengetahui status siasatan kes ini kerana sehingga hari ini belum mendapat sebarang perkembangan.

“Setelah membuat laporan polis, keluarga mangsa sudah menunggu selama tiga minggu untuk perkembangan siasatan namun tiada apa-apa daripada pihak polis.

“Apabila saya menelefon pegawai polis, dia mengatakan kes siasatan sedang berjalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Murid ‘disidai’ tengah panas selama 3 jam bakal OKU