KUALA LUMPUR – Operasi perobohan kawasan setinggan di Kampung Sri Makmur di Gombak, di sini, kelmarin disifatkan sebagai tindakan penguatkuasaan yang zalim dan tidak berperikemanusiaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham berkata, ia dibuat secara tergesa-gesa walaupun notis pengusiran oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam memberi tempoh bermula 27 hingga 31 Mei ini.
Beliau menyifatkan Kerajaan Negeri Selangor tiada belas ihsan apabila hanya menyepi dalam kes berkenaan.
“Kita bukan halang pembangunan tapi pastikan hak penduduk setempat terjamin. Saya anggap zalim sebab surau pun mereka roboh begitu sahaja tanpa sempat penduduk diberi masa mengambil al-Quran dan sebagainya. Buat kerja biar ada empati, kita ada masa sampai 31 Mei,” ujarnya.
Malah, beliau turut meminta pihak polis menjelaskan motif kehadiran kumpulan berjaket keselamatan tanpa sebarang logo yang dikatakan punca berlaku pergelutan sesama penduduk setempat ketika proses perobohan.
“Mereka siap pakai pelitup muka, pakai vest tapi bukan Pihak Berkuasa Tempatan. Entah apa tujuan dan peranan mereka yang macam samseng sampai buat kecoh sehingga ada penduduk cedera masuk hospital. Laporan polis sudah buat, kita harap pihak berkuasa beri penjelasan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Katanya, beliau akan berjuang dalam membela nasib baki 132 buah keluarga yang terkesan apabila hanya 21 keluarga meraih pampasan RM1,000 serta penempatan semula di Rumah Selangorku.
Pengusiran lebih 20 keluarga di tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu bagi memberi laluan kepada pembangunan kondominium.
Sebelum ini, penduduk yang terlibat dikatakan telah menerima notis untuk mengosongkan rumah selewat-lewatnya pada 21 Februari lalu namun telah ditangguhkan sehingga 26 Mei.
Pada 4 Mei lalu mereka turut menghantar memorandum bagi menagih janji kerajaan negeri yang mendakwa akan memberi pampasan perpindahan sebelum rumah mereka dirobohkan.
Namun, penduduk mendakwa dalam satu surat bertarikh 24 April bahawa permohonan 10 daripada 24 keluarga ditolak kerana tiada bukti mereka menetap di Kampung Sri Makmur sejak 2006. – MalaysiaGazette
Aduss penempatan sejak tahun 2006 hingga 2024 atas tanah milik kerajaan. Betapa senangnya. tak perlu bayar cukai..Tapi bila ada tindakan kata kerajaan zalim. mentaliti setinggan segala gala hendak percuma..SAMPAI BILA. “NIKMAT ALLAH YG MANA LAGI YG HENDAK ENGKAU DUSTAI”
Jadilah insan yg sentiasa bersyukur.