Ng Sze Han

KUALA LUMPUR – ‘Bukti konsep’ Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) membabitkan syarikat suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan sebuah lagi syarikat hanya untuk tempoh sembilan bulan.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobliti Selangor, Ng Sze Han berkata, lesen proof of concept yang diberikan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bukan untuk selama-lamanya atau akan diperbaharui secara automatik.

“Lesen proof of concept yang diberikan oleh APAD kepada kedua-dua syarikat ini hanya sah sehingga 31 Ogos 2024, bukannya untuk tempoh berpuluh tahun dan bukan diperbaharui secara automatik.

“Itu menjadi asas kepada keputusan Jawatankuasa Kerajaan Negeri yang menetapkan bahawa tempoh proof of concept ini adalah hanya selama tempoh 9 bulan, iaitu dari bulan November 2023 dan akan tamat pada Julai 2024,” katanya dalam kenyataan.

Sze Han turut membetulkan dakwaan bahawa Projek Rintis DRT diberikan secara runding terus kepada Asia Mobility Sdn. Bhd. yang dimiliki suami Hannah dan Badan Bas Coach Sdn. Bhd.

Proses penglibatan kedua-dua syarikat yang menyertai proof of concept dibuat secara proses Request-for-Proposal (RfP).

Katanya, keputusan untuk melibatkan hanya dua syarikat kerana apabila Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk memulakan proses proof of concept hanya syarikat tersebut diberikan lesen untuk menyertai proof of concept oleh APAD.

Sementara itu menurut Sze Han, sejumlah RM2.1 juta diperuntukan kepada setiap syarikat sepanjang tempoh proof of concept sebagai subsidi kepada setiap pengguna yang menaiki perkhidmatan bas.

Bayaran tidak disalurkan sekaligus tetapi secara berperingkat melalui tiga fasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan negeri.

Katanya, kos yang dianggarkan bagi setiap pengguna bagi setiap perjalanan adalah RM5 dengan Kerajaan Negeri menanggung RM3 dan baki dibayar oleh pengguna.

Sejak tempoh proof of concept bermula, seramai 40,674 warga Selangor telah memanfaatkan perkhidmatan bas di lapan laluan.

Empat laluan dioperasikan oleh Asia Mobility di Ampang, Hulu Kelang, Puchong dan UPM Serdang manakala empat lagi laluan oleh Badan Bas iaitu Subang Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan, dan Sungai Buloh.

Tambahnya, Kerajaan Negeri telah menerima cadangan daripada satu lagi syarikat yang berhasrat terlibat sama dalam proses proof of concept, iaitu Kumpool Sdn. Bhd. yang telah menerima kelulusan daripada APAD.

Sze Han berkata, pihaknya bersedia membentangkan keseluruhan proses penilaian kepada pihak berkuasa sebagai komitmen ketelusan dan kebertanggungjawaban Kerajaan Negeri terutamanya dalam perkara yang melibatkan peruntukan. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. APAD ni bawah Kementerian Pengangkutan..sape menteri dia? Antony Loke…siapa dia? Setiausaha Agong DAP..terbaik laaa

Comments are closed.