Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 29 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Lima kumpulan kongsi gelap berjaya dilumpuhkan selepas 21 ahli kumpulan jenayah terancang itu diberkas oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Mereka terdiri daripada Geng 08, Geng 21, Geng 18, Geng 24 dan Geng 36 yang dicekup dalam Operasi Lima (Op Lima) sekitar Johor, Pahang dan Selangor bermula 3 Mei hingga 30 Mei lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua mereka yang berusia antara 26 hingga 51 tahun itu bergerak aktif sejak 2019 dalam kegiatan bunuh, dadah, pemerasan dan khianat dengan api.

“Buat masa ini kita syak paling kurang ada 10 lagi ahli daripada lima kumpulan itu dikenali sebagai Geng TR yang menyembunyikan diri apabila tahu ahli lain sudah ditangkap,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, seramai 18 ahli kumpulan terbabit ditahan selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala dua lagi disambung direman.

Shuhaily memberitahu, modus operandi lima kumpulan jenayah terbabit boleh dianggap berbeza berbanding cara tradisi seperti upacara mengangkat sumpah sebelum ini.

Kini, ia lebih mudah apabila ketua mereka hanya mengarahkan ahlinya melakukan tugas seperti pemerasan, pengedaran dadah atau melakukan pembunuhan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

20 individu didakwa jadi ‘Geng TR’