KUANTAN – Pahang telah berjaya menoktahkan miskin tegar semalam, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, ia dilakukan menerusi pelbagai usaha kerajaan negeri seperti Bantuan Prihatin Pahang (BPP) yang dilihat efektif.

”Hari ini saya  telah dimaklumkan oleh Pengarah Pembangunan Negeri (SDO) dan agensi yang bertanggungjawab bahawa bermula daripada semalam kerajaan negeri Pahang telah berjaya menoktarkan miskin tegar.

”Bermula tahun 2023, kerajaan negeri Pahang berjaya mengurangkan 60 peratus miskin tegar daripada 6,000 lebih kepada hampir 3,000, maknanya yang baki hampir 3,000 itu dapat dinoktahkan semalam.

”Ini tidak terjadi dengan kebetulan atau sengaja, mesti ada penyebab mereka yang berpendapatan RM1,204 itu telah boleh dilonjakkan melebihi dan keluar daripada yang dikategorikan daripada miskin tegar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Orang Asli dan Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Agama (SMA) Negeri Pahang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan seramai 48 pelajar Orang Asli dan 51 SMA Pahang yang beroleh pencapaian cemerlang 5A hingga 11A diraikan dan diberikan RM100 bagi setiap A yang mana setiap mereka menerima sumbangan kerajaan negeri antara RM500 hingga RM1,100 seorang.

Menurut Wan Rosdy, meskipun kemungkinan status miskin tegar itu akan bertukar semula namun kerajaan negeri sentiasa berusaha menangani isu tersebut dengan pemantauan rapi serta mengesan lokasi golongan berkenaan. – MalaysiaGazette