Saksi bagi perbicaraan 1MDB, Nur Aida Ariffin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 5 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini diberitahu pelaburan yang dilakukan buat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak membawa keuntungan yang menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penguasa Kanan Nur Aida Ariffin menyatakan demikian menyangkal cadangan peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin bahawa pembinaan Menara Tun Razak Exchange (TRX) menjana keuntungan.

Nur Aida berkata, pembangunan Menara TRX tidak menggunakan dana 1MDB, sebaliknya pelaburannya dilakukan syarikat lain.

“Dana yang diperoleh untuk pembangunan TRX telah diselewengkan,” katanya ketika disoal balas Wan Azwan Aiman yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequera bersambung esok. – MalaysiaGazette