KUALA LUMPUR – Seorang pegawai pengiring orang kenamaan sedang disiasat selepas didakwa menyerang lelaki orang kurang upaya (OKU) di sebuah hotel di ibu negara semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 iaitu kerana menyebabkan kecederaan sukarela.
“Belum ada tangkapan lagi, jadi kami belum tahu mengapa lelaki itu diserang.
“Malah mangsa yang memfailkan laporan itu juga tidak pasti mengapa dia diserang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada pengadu masih dirawat di hospital, beliau menjelaskan tidak berniat mengulas lanjut kerana dalam proses siasatan.
Kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan
Sebelum ini tular pemandu e-hailing terbabit membuat laporan polis mendakwa dipukul di kepala oleh pengawal peribadi berkenaan.
Katanya, kejadian berlaku ketika dia sedang menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields sebelum diminta mengalihkan kenderaannya.
Susulan kejadian itu, mangsa dikatakan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – MalaysiaGazette