Foto Tim Media Sepaktakraw.

KUALA LUMPUR – Momentum kejayaan semakin menyebelahi Tim Media dalam siri jelajah perlawanan sepak takraw persahabatan apabila mereka kali ini menewaskan Pilihan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 5-4, baru-baru ini.

Tim Media yang diuruskan wartawan, Abdul Hafiz Ahmad turut memenangi dua perlawanan acara beregu di antara sembilan perlawanan yang dijalankan di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Wanita UIAM, Gombak, Selangor itu sekali pun dengan gandingan tangkap muat.

Inilah kemenangan kedua Tim Media sejak menjalani ‘Reunion 11 Syawal’ selepas kali terakhir aktif pada 2015 dan menewaskan Pilihan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 4-2 dan seri satu selain tumpas empat kali dan seri sekali dengan Pilihan Universiti Putra Malaysia (UPM).

UIAM yang dikendalikan bekas apit kanan Kelantan dan negara, Abdul Rahman Muhammad juga sedang dalam rangka persediaan menghadapi Liga Sepak Takraw Varsiti (VSL) Sirkit 2 di Universiti Malaysia Pahang, Pekan, Pahang dari 27 hingga 31 Mei ini.

Dipimpin Khairul Azra Ghazali, Tim Media turut membariskan Alisaifuddin Kamis, Noormanshah A. Rahman, Mohamed Syamsul Adlien Md. Nazri, Nazizul Najhan Saarani, Mohd. Azrol Abdul Majid, Khairul Idlan Abd. Razak dan Khairul Faizee Mahmod serta Wan Mohd. Noraffandi W. Mohd. Ghazali.

Perlawanan Tim Media-UIAM ini turut merakamkan penampilan sulung dua pendatang baharu, Pian Hafiz Piramele dan Ahmad Faez Ahmad Hilmi, masing-masing daripada agensi Kementerian Komunikasi. – MalaysiaGazette