Aiman Athirah Sabu

KUALA LUMPUR – Sebanyak 177 projek iaitu 20,489 unit perumahan swasta telah berjaya dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM14.89 bilion bagi tempoh 1 Januari 2024 sehingga 30 April 2024.

Jumlah projek merangkumi 163 projek yang telah berjaya mendapat Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC), 11 projek yang berstatus sakit kembali menjadi lancar dan tiga projek terbengkalai telah berjaya dipulihkan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata,  Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah berjaya menyelesaikan sebuah projek perumahan swasta terbengkalai pada bulan Mac 2024 iaitu Projek Perumahan Taman Desa Barakah (Fasa 5), Tanah Merah, Kelantan yang dilaksanakan melalui kaedah penyelesaian pembeli.

TFST Bilangan 3 Tahun 2024 yang telah diadakan pada 21 Mei 2024 baru-baru ini turut mengesahkan data-data terkini bagi projek sakit dan terbengkalai bagi pelaporan sehingga 30 April 2024.

Statistik menunjukkan terdapat sebanyak 205 projek perumahan swasta lewat dan 438 projek perumahan swasta sakit manakala projek perumahan swasta terbengkalai masih kekal dengan 115 projek.

Kesemua projek ini membawa GDV sebanyak RM189.67 bilion.

Statistik projek perumahan swasta lewat dan sakit adalah dinamik, walau bagaimanapun ia menunjukkan trend yang semakin menurun.

Aiman Athirah berkata, lawatan tapak dan pemantauan secara rapi merupakan agenda tetap dan terus dipergiatkan oleh pasukan KPKT dalam usaha memperkukuhkan salah satu daripada empat elemen utama TOR TFST iaitu melaksanakan pemantauan secara berterusan.

Bagi suku tahun pertama 2024, sejumlah lima lawatan tapak projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai telah dilawati iaitu Dynaton Impiana Taman Bahagia, Temerloh, Pahang; Taman Rasa Utama, Kuala Kubu Bharu, Selangor; D’jewel Gardens, Gombak, Selangor; Taman Malim Putra, Tanjung Malim, Perak; dan . Pangsapuri Impian Meru, Klang.

Selain itu, Aiman Athirah berkata, dalam lawatan tapak ke Projek Pangsapuri Impian Meru, Klang baru-baru ini, KPKT telah memperuntukkan RM4.8 juta bagi memulihkan tiga projek perumahan swasta terbengkalai di Selangor melalui Inisiatif Belanjawan 2023 melibatkan Pangsapuri Meru Klang; Taman Meru Makmur Lot 2223 & 2224, Klang; dan Taman Meru Makmur Lot 2225, Klang.

Peruntukan inisiatif ini adalah merupakan obligasi sosial daripada Kerajaan Madani kepada para pembeli yang terkesan dengan projek perumahan swasta terbengkalai.

Peruntukan ini disalurkan bagi menyiapkan projek-projek perumahan swasta terbengkalai tersebut sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) atau Sijil Kelayakan Menduduki (CFO). – MalaysiaGazette