KUALA LUMPUR – Nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlaku pada 23 April berpunca daripada helikopter AS 555 SN Fennec yang tidak berada pada ketinggian dan haluan yang ditetapkan.
Menurut Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, pesawat helikopter yang dinaiki tiga kru itu telah memasuki laluan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139 yang membawa tujuh kru.
“Faktor sekunder, perhatian yang disalurkan oleh kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah penukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran,” katanya pada sidang media hari ini.
Abdul Rahman berkata, laporan akhir ini selari dengan laporan awal yang telah dikeluarkan sebelum ini. Laporan ini juga akan dihantar ke State Airworthiness Authority (SAA) untuk rekod.
Malah, Laporan Analisis Kotak Hitam pesawat AW139 telah digunakan untuk membantu siasatan.
Manakala bagi pesawat Fennec, pembuktian profil penerbangan adalah melalui simulasi penerbangan menggunakan pesawat sebenar.
Kerjasama, kepakaran dan pandangan dari pihak pengilang peralatan asal (OEM) iaitu Leonardo Helicopter dan Airbus Helicopter juga telah dirujuk bagi membantu siasatan.
“Airbus Helicopter mengesahkan tiada peralatan yang mempunyai non volatile memory (tiada ingatan meruap, NVM) di pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu Abdul Rahman berkata, Laporan Analisis Kotak Hitam mengesahkan pesawat AW139 tidak mengalami sebarang masalah teknikal.
Pesawat Fennec juga disahkan tidak mengalami sebarang masalah teknikal berdasarkan analisis visual dan bunyi serta dokumentasi.
Kerja-kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh OEM.
Tambahnya, Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) mengesahkan sampel minyak, pelincir dan bahan api telah diperiksa dan disahkan normal.
Keadaan cuaca pada hari kejadian juga adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.
Dua Pegawai Memerintah Skuadron Helikopter TLDM dikenal pasti antara 10 yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter pasukan itu.
TLDM mengesahkan 10 orang itu terdiri daripada masing-masing tujuh kru HOM dan tiga kru Fennec.-MalaysiaGazette