Perjanjian penajaan Harimau Malaya dan FAM ditandatangani oleh Noor Azman Rahman dan Dersenish Aresandiran, disaksikan oleh Hamidin dan Ahmad Luqman Mohd Azmi, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) menjadi penaja utama skuad Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, majlis pengumuman dan pemeteraian perjanjian penajaan berkenaan telah berlangsung di Hotel Sama-Sama, KLIA di Sepang, Isnin lalu.

Perjanjian penajaan MAB itu untuk tempoh tiga tahun bermula dari Januari 2024 hingga Disember 2026.

Dokumen perjanjian penajaan FAM bersama MAB itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Komersial Penerbangan MAB, Dersenish Aresandiran, disaksikan oleh Hamidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi.

“Saya mengambil kesempatan ini menzahirkan ucapan terima kasih kepada MAB atas sokongan yang telah diberikan kepada skuad kebangsaan Harimau Malaya dan FAM sejak 2019.

“Jalinan kerjasama di antara FAM dan MAB bukan sahaja mencerminkan kesetiaan tetapi turut menunjukkan dedikasi serta komitmen mereka (MAB) terhadap arena bola sepak negara.

“Ia juga memberi mesej penting kepada penyokong-penyokong skuad kebangsaan di luar sana bahawa FAM bukan sahaja mampu memberikan nilai tambah kepada barisan penaja-penajanya, malah memberi impak positif terhadap sektor ekonomi negara,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamidin percaya kehadiran MAB sebagai penaja utama FAM dan skuad bola sepak kebangsaan, pelbagai kejayaan akan dapat digapai bersama.

Beliau berharap jalinan kerjasama ini akan memacu dua organisasi berkenaan ke arah kecemerlangan.

Sementara itu, Ahmad Luqman berkata, sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines berbesar hati dapat meneruskan kesinambungan usaha dan tanggungjawab dalam membawa bendera Malaysia ke arena antarabangsa selain menyokong pembangunan sukan dalam negara.

“Kami amat berbangga kerana dapat terus menyalurkan khidmat kami kepada skuad bola sepak kebangsaan sekali gus memberi sokongan berterusan kepada pihak FAM melalui kerjasama yang tertera di bawah penajaan yang telah masuk tahun keenam secara berturut-turut dan berbesar hati untuk meneruskan kerjasama ini untuk tiga tahun lagi sehingga penghujung tahun 2026,” jelasnya lagi.-MalaysiaGazette