Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 14 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-49 prosiding penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri  Najib Razak mendedahkan bekas perdana menteri itu membuat pengakuan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beliau simpan sejumlah wang bagi ‘pelan jangka panjang’.

Penguasa Kanan SPRM, Nur Aida Arifin berkata, Najib telah menyimpan wang derma Arab andai berlakunya insiden wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dibeli pembangkang seperti kejadian 16 September 2008.

Kata Nur Aida, Najib ketika memberi keterangan siasatan penyelewengan 1MDB memberitahu, apabila insiden itu tidak berlaku beliau telah memulangkan sebahagian daripada AS$681 juta pada tahun 2013.

Nur Aida Arifin hadir bagi sambungan perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 19 FEBRUARI 2024.

Wang itu telah dipulangkan melalui syarikat Tanore Finance Corp yang didakwa dimiliki sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Nur Aida mengakui Najib merasakan tiada keperluan untuk beliau menyimpan wang itu memandangkan tidak ada insiden yang dibimbangi berlaku.

Najib juga kata Nur Aida mendedahkan segala urusan berkaitan pemulangan dana itu telah dilakukan oleh bekas Ketua Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Turut mengetahui tentang perkara itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, selain pihak bank.

Dalam keterangan kepada SPRM, Najib juga mendedahkan beliau tidak tahu struktur pembayaran pemulangan semula sebaliknya hanya percaya ia akan dipulangkan melalui syarikat Tanore yang telah dilantik oleh Arab.

Nur Aida juga bersetuju dengan pendakwaan bahawa Najib telah menyimpan dana itu demi kepentingan politiknya.

Prosiding bersambung di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – MalaysiaGazette