Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 25 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Dua pembantu penguasa dan seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini terhadap tuduhan rasuah melepaskan lori barangan tanpa pemeriksaan tahun lalu.

Lori itu difahamkan telah dilepaskan tanpa pemeriksaan dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketiga-tiga tertuduh, Mohd Nasrizal Othman, 37; Mazuki A Kadir, 54, dan Ahmad Samirruddin Muhammad Japri, 38, mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nasrizal didakwa dengan lima pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM1,150 antara 25 Januari 2017 hingga 1 Jun 2019.

Mazuki didakwa dengan 10 pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM2,900 antara 19 April 2018 dan 4 April 2023.

Seorang lagi, Ahmad Samirruddin didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM4,550 antara 31 Mei 2017 hingga 2 April 2019.

Ketiga-tiga mereka didakwa memperoleh suapan daripada seorang pemilik syarikat melalui pemindahan wang ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 untuk Mohd Nasrizal sementara Mazuki dan Ahmad Samirruddin dijamin sebanyak RM10,000. – MalaysiaGazette