Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) baru-baru ini mendedahkan aduan kira-kira 26 aduan mangsa penipuan skim pelaburan dengan nilai kerugian lebih RM550,000 namun sampai sekarang didakwa masih kebal.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, walaupun pihaknya telah tampil membuat aduan kepada pihak berwajib termasuk polis dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) namun syarikat pelaburan itu masih aktif melakukan operasi secara terbuka.

Menurutnya, syarikat mengaburi umum dengan mendakwa mereka melakukan kerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti Amerika Syarikat (AS) malah menjalankan projek besar seperti kitar semula.

“Para pengadu masih melihat dan mendapat maklumat dari individu lain yang menyatakan bahawa syarikat tersebut pada ketika ini masih aktif melakukan aktiviti pemasaran dan masih lagi aktif mencari orang awam yang ingin menyertai skim pelaburan saham yang ditawarkan oleh syarikat ini.

“Sedangkan penawaran skim pelaburan saham yang ditawarkan, dipasarkan dan juga dianjurkan oleh syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang kelulusan yang sah daripada segi perundangan Malaysia dan ia adalah merupakan aktiviti penawaran saham kepada orang awam yang tidak sah.

“Bagaimana mereka ini kebal dan berani melakukan penipuan dan rompakan secara terbuka seperti ini? Kita mohon sangat sesuatu dapat dilakukan malah perundangan dapat memberikan pengajaran dan hukuman setimpal agar yang lain-lain gerun untuk jalankan aktiviti seumpama ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Hishamuddin, usaha pihaknya dalam membuat aduan dengan pihak SC diharap dapat membuahkan hasil selepas aduan dibuat secara beramai-ramai kelmarin.

Hishamuddin berharap syarikat yang berkaitan ini dapat ditutup dan disenarai hitamkan di laman sesawang rasmi SC memandangkan mereka masih lagi aktif menjalankan kegiatan haram mereka dengan memerangkap lebih ramai mangsa. -MalaysiaGazette