Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan menyampaikan Anugerah Artikel Francais Terbaik kepada Kasthuri Jeevendran pada Malam Anugerah Francais Malaysia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 29 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Wartawan Malaysia Gazette, Kasthuri Jeevendran memenangi anugerah bagi kategori Artikel Francais Terbaik pada Anugerah Francais Malaysia 2023 anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA), di sini, malam ini.

Beliau membawa pulang sijil penghargaan serta plak yang disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan.

Ketika ditemui selepas majlis anugerah, Kasthuri melahirkan penghargaan kepada MFA dan editor di Malaysia Gazette.

“Terima kasih kepada semua terutamanya bos-bos di Malaysia Gazette kerana sentiasa memberi peluang dalam membuat pelbagai liputan menarik sepanjang tujuh tahun berada di sini,” katanya.

Anugerah Francais Malaysia kali ini mengiktiraf 17 pemenang dalam kategori lain seperti Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisor Antarabangsa, Kategori Francaisi, Kategori ESG, Kategori Terbuka dan Kategori Media.

Ia merupakan platform yang memperkasakan kemajuan serta memberi pengiktirafan kepada syarikat francais tempatan atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada industri. -MalaysiaGazette