Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Kira-kira 300,000 pemilik kenderaan diesel individu bakal menikmati bantuan tunai RM200 sebulan di Bawah pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) bermula Jun ini.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah itu 70 peratus kenderaan menikmati kelebihan kerana perjalanan harian mereka kurang 60 kilometer.

Secara keseluruhan menurut beliau, sejumlah 700,000 kenderaan diesel termasuk 400,000 kenderaan komersial mendapat Budi Madani yang meliputi 50 peritus kenderaan diesel aktif di Semenanjung Malaysia.

Manakala sejumlah 200,000 pekebun kecil baharu turut menikmati Budi Madani yang melibatkan penanam sawit, getah, kenaf, koko dan lada.

“Pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu sementara petani kecil dan pekebun kecil komoditi boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

“Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

“Bantuan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan dijangka memadai berdasarkan perjalanan kenderaan diesel sehingga 60km sehari dan dengan itu, memenuhi keperluan kebanyakan pemilik kenderaan diesel individu,” katanya.

Dalam sesi penerangan bersama editor kanan media di Kementerian Kewangan baru-baru ini, Amir Hamzah menjelaskan, kaedah subsidi pukal sedia ada telah menjerumus kepada gejala penyeludupan yang berleluasa.

Ini menyebabkan jumlah peruntukan subsidi diesel meningkat 10 kali ganda dalam tempoh empat tahun.

Pada 2019 subsidi diesel yang disalurkan hanya RM1.4 bilion namun naik kepada RM14.3 bilion tahun lepas.

Peruntukan yang besar terpaksa dikeluarkan berikutan peningkatan penggunaan diesel bersubsidi daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023 yang menyaksikan kenaikan lebih kurang 70 peratus.

Harga diesel subsidi negara yang rendah iaitu RM2.15 seliter berbanding negara jiran telah menyebabkan bahan itu terdedah dengan aktiviti penyeludupan.

“Dengan menyeludup keluar diesel yang berharga RM2.15 seliter di Malaysia, penyeludup-penyeludup ini boleh menjana untung berlipat ganda apabila menjual kepada pengguna-pengguna di negara jiran.

“Sebagai contoh, harga diesel di Thailand ialah RM4.12 seliter, manakala di Indonesia ialah RM4.67 seliter. Di Singapura, diesel dijual pada harga RM8.87 seliter (harga setakat 20 Mei 2024).

“Malah, ada juga segmen komersial tertentu yang tidak layak mendapat subsidi mengambil kesempatan daripada harga diesel Malaysia yang terlalu rendah ini untuk mengaut keuntungan berlebihan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Mei lalu mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia.

Pelaksanaan tersebut memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada negara yang boleh digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat kepada rakyat. – MalaysiaGazette