KUALA LUMPUR – Sebanyak 62 jenis produk keluaran syarikat asing yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bernilai RM1 juta dirampas pada 9 Mei lalu.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, rampasan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (CPFJKNS) susulan aduan awam.

Katanya, modus operandi yang digunakan adalah melibatkan premis syarikat pengendali hab logistik tempatan sebagai lokasi simpanan dan pengedaran produk tidak berdaftar miliknya kepada pengguna dalam negara.

“Syarikat berkenaan menggunakan platform e-dagang sebagai medium penjualan produk kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan.

Penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika sabit kesalahan individu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000,” katanya.

Sehubungan itu, JKNS menasihatkan syarikat pengendali hab logistik tempatan dan orang awam supaya memastikan produk kesihatan mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.

Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan
“Product Status” ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori
Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-7883 5400ATAU memuat turun aplikasi NPRA Product Status secara percuma melalui Play Store, App Store dan Huawei App Gallery.- MalaysiaGazette