Jeyenderan menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengangkutan bagi tindakan segera dalam industri perkapalan.

KUALA LUMPUR – Pengumuman 72 jam untuk proses kelulusan bagi semua prosedur di bawah Dasar Kabotaj oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dianggap tidak begitu ‘win win’ untuk industri malah ianya khabar buruk buat semua syarikat perkapalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy menegaskan, tempoh 72 jam itu sebenarnya bakal memberi kesan mendalam selain mencatat kerugian luar jangka yang besar dalam sektor ini.

Katanya, pemilik kargo sering membuat perubahan pada saat akhir, tempoh 72 jam tersebut seharusnya dipendekkan kepada hanya 24 jam.

“Dengan keadaan pemilik kargo yang sering membuat perubahan pada saat akhir, 72 jam itu terlalu panjang. Tempoh 24 jam lebih munasabah, mengambil kira ‘nature of business’ syarikat perkapalan dan operasi pemilik kargo.

“Dulu lain sekarang situasi sudah lain, sistem telekomunikasi kita lebih cekap dan berteknologi tinggi. Contoh, dulu kita pakai mesin faks kini sudah ada telefon canggih, email dan sebagainya.

“Kedudukan kapal juga dapat dipantau dalam tempoh 24 jam melalui sistem elektronik berbanding dulu apabila lokasi kapal tidak akan dapat dipantau secara berterusan.

“Selain itu, pelabuhan juga sudah membelanjakan jutaan ringgit dalam ‘upgrade’ sistem dan kemudahan kepada lebih canggih jadi apa sukarnya untuk buat dalam 24 jam?,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jelas Jeyenderan, peraturan baharu ditetapkan Kementerian Pengangkutan yang mewajibkan Lesen Perkapalan Domestik (DSL) walaupun hanya untuk proses pemindahan di pelabuhan tempatan membuatkan keadaan bertambah sukar.

“Peraturan baharu menetapkan semua kapal berurusan dengan lebih daripada satu pelabuhan tempatan perlu memohon DSL. Ini semua membuatkan keadaan menjadi bertambah rumit, tempoh 72 jam tidak boleh diterima.

“Dasar dan polisi kerajaan ini kita terima baik tetapi pada masa sama amat berharap agar pandangan pemain industri seperti kami yang juga mahukan yang terbaik bagi terus memperkasa ekonomi negara dapat dipertimbang semula terutamanya Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke,” ujarnya.

Untuk makluman, MOT menerusi kenyataan 29 Mei lalu mengumumkan, semua kapal yang berurusan dengan lebih daripada satu pelabuhan tempatan perlu memiliki DSL yang sah berkuatkuasa esok.

Kementerian juga menarik semula Pengecualian Kapal Kargo untuk Malaysia Timur, bagi mana-mana perjalanan dua hala dari Semenanjung ke Sabah atau Sarawak yang turut berkuatkuasa esok.

Ia sejajar dengan usaha MOT untuk memperkemaskan operasi maritim negara, dan pada masa sama memastikan standard ditetapkan sentiasa dipatuhi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast