Pengurus Kandungan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor.

KUALA LUMPUR – Biar pun menunjukkan peningkatan jumlah pendengar, Zayan FM kekal memberi keutamaan untuk terus memberi manfaat dan impak dalam perkongsian dakwah sebagai stesen radio saluran Islamik di negara ini.

Pengurus Kandungan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, pihaknya akan lebih memberi fokus kepada industri muzik nasyid dan penyampaian informasi dakwah kepada masyarakat walaupun berdepan saingan pendengar.

“Zayan FM merupakan satu-satunya stesen radio yang memutarkan lagu nasyid secara total dan bukan mudah untuk berjuang dalam dunia radio, lebih-lebih lagi fokus utama kami ialah lagu berbentuk dakwah dan Islamik.

“Ia satu keputusan yang sangat baik kepada perkembangan kandungan radio berbentuk Islamik seleras dengan tagline Destinasi Nasyid Anda yang memberi kekuatan dan membantu kepada peningkatan jumlah pendengar.

“Pada masa sama tidak dinafikan, pemilihan deejay juga memainkan peranan kerana dia harus bijak menyampaikan ilmu dan uara positif,” katanya.

stesen radio Zayan FM telah diiktiraf sebagai stesen nombor satu dalam memperjuangkan irama nasyid di Malaysia.

Wan Syahrul Amry menambah, alunan bacaan surah al-Quran bagi segmen Zayan Surah juga antara segmen yang mendapat tempat di hati pendengar.

Katanya, alunan bacaan al-Quran dan zikir ini dimainkan pada sebelah malam selama empat jam setiap hari telah menjadi identiti yang jelas kepada Zayan.

“Segmen Zayan Pagi iaitu Timeline Akhir Zaman, Bukan Nama Sebenar dan Sembang Deep antara segmen popular yang sentiasa trending di media sosial kerana ia membicarakan isu semasa yang sedang hangat,” katanya.

Wan Syahrul turut berkongsi keterujaan untuk melunaskan nazarnya membotakkan kepala apabila rating Zayan menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Pemangku Ketua, Astro Radio & SYOK, Priya Prabakaran.

Sementara itu, Pemangku Ketua, Astro Radio & SYOK, Priya Prabakaran berkata, di Zayan, pihaknya komited dalam menjadi pilihan pertama Malaysia untuk kandungan Islam dengan menyediakan program yang memperkaya, tulen dan menarik yang selaras dengan nilai dan kepercayaan pendengar.

Kata beliau, pihaknya turut merancang untuk terus mencapai matlamat ini melalui pembentukan kandungan inovatif, dan penglibatan komuniti sama ada ke udara di radio, liputan dalam talian dan juga acara di lokasi terpilih.

“Kami juga mengekalkan kualiti kandungan dan ketulenan dalam siaran kami di mana matlamat adalah untuk mencipta platform yang dipercayai dan bukan sahaja memberi maklumat tetapi juga memberi inspirasi dalam menyatukan komuniti muslim di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette