KUALA LUMPUR – Dana Penulis Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) adalah satu inisiatif kerajaan menunaikan hak seseorang penulis tanpa mengira latar belakang dan had umur terhadap karyanya.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembinaan Koleksi PNM, Raihan Ghazali, peruntukan khusus di mana PNM akan terus membeli buku melalui penulis bukan penerbit atau pembekal.
“Dengan ini, kami akan dapat memberikan semangat dan sokongan yang lebih kuat kepada para penulisan tempatan dalam penghasilan karya mereka.
“Bukan itu sahaja, para penulis juga akan memperoleh seluruh keuntungan mereka sendiri tanpa perlu berbahagi dengan penerbit dan pembekal,” katanya dalam taklimat di Putra World Trading Centre (PWTC) hari ini.
Mereka yang berminat untuk membuat permohonan boleh menghantar sebuah naskhah contoh kepada PNM dan mengisi borang yang ada di laman sesawang untuk penilaian seterusnya.
“Selepas itu, akan ada jabatan kuasa penilaian yang menaksir dan menentukan sama karya penulis itu sesuai untuk dibeli atau sebaliknya.
“PNM mempunyai kriteria buku tersendiri untuk melahirkan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang tinggi budaya membaca.
“Bagaimanapun, buku yang dihantar untuk permohonan dana penulis itu perlulah penerbitan tiga tahun terkini,” ujar Raihan.
Dalam anggaran, PNM telah membantu lebih kurang 70 penulis tempatan daripada 100 permohonan yang diterima setiap tahun dan mereka yang gagal boleh melakukan permohonan baharu. – MalaysiaGazette